Jamal Ditahan Kerana Perlakuan Ganas Penyokong Anti-Bersih - Polis

Diterbitkan: Rabu, 19 Oktober 2016 11:37 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penahanan Datuk Seri Jamal Yunos berkaitan tindakan kumpulan anti-Bersih di Teluk Intan dan Sabak Bernam, kata Datuk Seri Mohmad Salleh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu mengesahkan Jamal ditahan pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi Rabu.

"Jamal ditahan bagi membantu siasatan berkaitan perlakuan ganas yang berlaku di Teluk Intan dan Sabak Bernam melibatkan penyokong anti-Bersih.

"Kedua-dua insiden berlaku ketika konvoi Bersih," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Terdahulu, Jamal yang juga Ketua Umno bahagian Sungai Besar ketika dihubungi berkata, dia ditahan pada kira-kira pukul 8.30 pagi sebaik tiba dari Dubai.

Katanya, beliau dalam perjalanan ke balai polis Dang Wangi dan tidak tahu punca penahanannya.

Pada 11 Oktober lalu, laporan polis terhadap Jamal dibuat kerana kenyataan di laman sosial Facebook yang berbau ugutan mengenai rusuhan kaum 13 Mei akan berulang.

Beliau bagaimanapun menafikan memuatnaik kenyataan itu dan mendakwa ia dari akaun palsu.

Tags / Kata Kunci: Jamal Yunos , anti-Bersih , Sabak Bernam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan