Polis Bongkar Makmal Dadah Di Batu Pahat

Diterbitkan: Ahad, 9 Oktober 2016 1:48 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dadah jenis syabu seberat 12 kilogram bernilai RM550,000 dalam dua serbuan serentak di Ayer Hitam dan Yong Peng dekat Batu Pahat pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan itu polis menahan tiga individu di bangunan di dalam sebuah ladang yang dijadikan makmal.

"Polis lancar dua sebuan di Ayer Hitam dan Yong Peng. Dua daripadanya warga India. Satu chemist. Dadah bernilai RM550,000.

"Polis merampas peralatan proses dadah serta kita menyita dua buah kenderaan dan merampas pelbagai barang kemas," katanya dalam sidang di sini, Ahad.

Dua lelaki yang ditahan merupakan warga India masing-masing berusia 32 dan 41 tahun manakala seorang lagi merupakan warga tempatan berusia 49 tahun.

Tambah Mohd Mokhtar, sindiket itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu.

Kesemua mereka direman sehingga 14 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung jika disabit kesalahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan