Pelajar Ditahan Rakam Video Dalam Asrama Pelajar Wanita

Diterbitkan: Jumaat, 23 September 2016 8:49 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki sebuah kolej di sini ditahan kerana didapati merakam gambar video dalam asrama pelajar wanita kolej berkenaan Selasa lepas. 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pelajar berumur 20 tahun itu ditahan kira-kira 6.30 petang selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang penghuni asrama pelajar wanita berkenaan. 

"Penghuni itu yang menyedari perbuatan tidak senonoh suspek kemudiannya melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis.

"Mangsa yang berada di bilik asrama bersama beberapa penghuni lain dilapor terlihat ada tangan yang memegang telefon bimbit di tingkap asrama mereka yang dipercayai sedang merakam gambar video.

"Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu telah menjerit dan melarikan diri serta melaporkan perkara itu kepada pihak warden asrama serta pensyarah kolej.

"Mangsa bersama pihak kolej kemudiannya membuat laporan polis manakala suspek ditahan pada hari yang sama," katanya kepada Bernama.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, pihak polis telah merampas sebuah telefon bimbit milik pelajar lelaki itu dan hasil pemeriksaan menemukan dua rakaman video sepanjang 22 saat yang dirakam di asrama berkenaan.

Turut ditemukan ialah puluhan klip video lucah, katanya.

Beliau berkata suspek direman dua hari sebelum dibebaskan semalam dengan jaminan polis sementara menunggu hasil pemeriksaan forensik ke atas telefon bimbit miliknya.

Kes disiasat kerana menceroboh dan memiliki bahan lucah, katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan