Wanita Maut Ditikam Selepas Main Teka-Teki

Diterbitkan: Jumaat, 23 September 2016 10:40 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Permainan teka-teki antara dua wanita warga emas bertukar tragedi apabila salah seorangnya maut ditikam.

Pesara guru, Ngui Lim Kiau, 64, ditikam oleh jirannya yang berusia 65 tahun apabila suspek didakwa berasa tersinggung dengan gurauan dan keputusan permainan teka-teki di sebuah rumah di Pangsapuri Kepayan Ridge di sini, kira-kira pukul 4.15 petang Jumaat. 

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata, Ngui menjemput suspek ke rumahnya untuk bermain teka-teki bersama kira-kira pukul 2 petang.

Beliau berkata, suspek yang ketika itu sedang memotong daun pisang bersetuju dan datang ke rumah mangsa dengan membawa pisau berukuran 22 sentimeter.

"Semasa bermain teka-teki, suspek dilihat berasa terhina oleh mangsa yang didakwa bergurau," kata Chandra.

Suspek didakwa menikam belakang mangsa dan kemudiannya panik sebelum memanggil abangnya untuk mendapatkan bantuan.

Suspek yang dipercayai masih dalam rawatan akibat masalah mental cemas dan cuba bertindak membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangan sendiri.

Chandra berkata, mangsa mati di tempat kejadian manakala suspek dibawa ke hospital untuk rawatan.

Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai bunuh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan