Dua Remaja Ditahan, Dua Diburu Dipercayai Rogol Pelajar Tingkatan Satu

Diterbitkan: Ahad, 18 September 2016 1:45 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua remaja lelaki dan sedang memburu dua yang lain kerana dipercayai merogol seorang pelajar tingkatan satu di sebuah pondok di kebun kelapa sawit, Kampung Manong, Ayer Hitam dekat Batu Pahat, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata dua remaja lelaki yang berumur 14 dan 15 tahun serta tinggal di kawasan Ayer Hitam dan Parit Raja, Batu Pahat itu ditahan kira-kira 2 petang semalam di kawasan Ayer Hitam.

"Siasatan awal mendapati remaja perempuan berusia 13 tahun dan bersekolah di Parit Raja berkenaan didapati mengenali seorang daripada remaja lelaki terbabit menerusi aplikasi WeChat sejak 8 Sept lepas," katanya menerusi kenyataan di sini, Ahad.

Abdul Wahib berkata terdahulu, pada kira-kira 9 malam, Khamis lepas, remaja perempuan terbabit memberitahu ibunya bahawa dia mahu keluar rumah untuk belajar di rumah rakannya di Parit Raja.

Beliau berkata sebenarnya, remaja perempuan terbabit sudah berjanji dengan  seorang daripada remaja lelaki terbabit untuk keluar makan di sekitar Parit Raja.

Katanya remaja perempuan itu mengikut remaja lelaki terbabit menaiki sebuah motosikal ke pekan Ayer Hitam dan dia kemudian dibawa berjumpa tiga remaja lelaki lain sebelum kesemua mereka pergi ke pondok tersebut menunggang tiga motosikal.

Menurut Abdul Wahib, remaja perempuan itu kemudian dirogol bergilir-gilir di pondok tersebut, namun, dia dan kesemua empat remaja lelaki itu melarikan diri apabila penduduk kampung menyedari kejadian berkenaan.

"Mangsa (remaja perempuan) menyorokkan diri di belakang sebatang pokok manakala kesemua empat remaja lelaki itu melarikan diri dengan meninggalkan dua motosikal mereka.

"Penduduk kampung kemudian bertindak menghubungi bapa mangsa lalu bapa mangsa datang mengambil mangsa dan seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Hitam," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol dan polis giat mengesan dua lagi remaja lelaki terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar Ayer Hitam bagi membantu siasatan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan