Dua Lagi Pegawai Bank Ditahan Palsukan Dokumen

Diterbitkan: Khamis, 15 September 2016 10:05 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Dua lagi pegawai sebuah bank ditahan kerana disyaki memalsukan dokumen untuk permohonan pinjaman peribadi di bank terbabit.

Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap berkata penahanan dua suspek itu menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan di Sabah seramai 10 orang sejak 6 September.

"Suspek pertama berumur 25 tahun ditahan di Pejabat SPRM Sabah pada 13 September pukul 2.20 petang dan ditahan reman selama tujuh hari mulai Rabu.

"Suspek kedua pula berumur 29 tahun juga ditahan di Pejabat SPRM Sabah pukul 12.45 tengah hari semalam dan ditahan reman selama empat hari mulai hari ini (Khamis)," katanya dalam kenyataan di sini malam Khamis.

Shaharom Nizam berkata penahanan dua suspek itu dibuat selepas SPRM menerima laporan pada Selasa lepas mengatakan pada tahun lalu dan tahun ini, suspek telah memalsukan dokumen perjanjian sewa rumah, perjanjian sewa kenderaan, slip gaji dan penyata bank bagi pemohon pinjaman bank terbabit.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: pegawai bank , SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan