Dua Ditahan Kes Bunuh Di Sebuah Flat Di Sungai Way

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2016 6:34 PM

Polis berada di lokasi pembunuhan di sebuah flat di Sungai Way, pagi Jumaat.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Polis menahan dua warga asing dipercayai pasangan suami isteri kerana disyaki terlibat kes bunuh seorang lelaki dalam satu pergaduhan di sebuah flat di Jalan PJS 6/3B, Kampung Lindungan, Sungai Way di sini, Jumaat.  

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata lelaki berumur 30 tahun dan wanita berusia 21 tahun itu ditahan di kediaman mereka di flat berkenaan pada 1.30 pagi tadi.   

"Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi dan mendapati seorang lelaki warga asing dikenali sebagai Tohir, 28, sudah meninggal dunia dengan kesan tikaman di perut di kawasan tempat letak kereta di blok flat berkenaan.    

"Mangsa dipercayai ditikam di rumah berkenaan dalam pergaduhan itu sebelum melarikan diri dan mati di kawasan tempat letak kereta," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.   

Pada masa sama, polis sedang mengesan dua individu berusia 20-an bagi membantu siasatan. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Kes Bunuh Di Flat PKNS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan