Polis: Kes Buli Rakan Berlaku Di Sabah - Berita Jenayah | mStar

Polis: Kes Buli Rakan Berlaku Di Sabah

Diterbitkan: Selasa, 6 September 2016 4:23 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Polis mengesahkan bahawa video viral seorang murid lelaki dipukul oleh salah seorang daripada rakan-rakannya telah direkodkan di sebuah sekolah agama di Putatan, Sabah.

Laporan memetik Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Penampang.

"Kami sedang menyiasat kes itu dan mencari beberapa murid dari sekolah berkenaan," katanya yang dipetik sebagai berkata namun enggan mengulas lanjut.

Video berdurasi dua setengah minit itu menunjukkan pembuli bertindak ganas dengan menyerang mangsa sambil disaksikan beberapa rakan di dalam kelas.

Ia mula menjadi viral sejak Isnin malam.

Menerusi video tersebut, dua murid lelaki terbabit yang berpakaian uniform baju Melayu, dilihat bersemuka antara satu sama lain sambil diperhatikan rakan sekelas lain.

Pembuli kemudiannya mula bertindak ganas dengan menendang, menampar, menumbuk dan melemparkan kerusi ke atas mangsa selain turut mencekak leher mangsa.

Mangsa dipukul sehingga terjatuh dan apabila dia cuba bangkit, pembuli tersebut terus memukulnya.

Bagaimanapun mangsa langsung tidak melawan atau dibantu oleh rakan sekelasnya yang lain.

Malah kedengaran beberapa murid ketawa melihat aksi buli itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan