Polis Berkas Tiga Suspek, Buru Seorang Lagi Selepas Insiden Kejar

Diterbitkan: Rabu, 24 Ogos 2016 10:47 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis memberkas tiga daripada empat suspek selepas insiden kejar membabitkan mereka yang menaiki sebuah kereta dan empat kereta peronda polis dekat Batu Uban awal hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Timurlaut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata insiden itu berlaku kira-kira 3.30 pagi apabila anggota polis dalam dua kereta peronda  terserempak dengan kereta Proton Iswara Aeroback yang dinaiki empat orang dalam keadaan mencurigakan.

"Polis memberi isyarat kepada kereta tersebut supaya berhenti untuk pemeriksaan tetapi pemandunya memecut laju, menyebabkan polis mengejarnya sehingga ke kawasan perindustrian Jelutong," katanya.

"Beberapa kereta peronda menghalang kereta tersebut tetapi sebaliknya dirempuh oleh kereta Aeroback itu yang kemudian dihalang oleh dua lagi kereta peronda yang tiba di tempat kejadian.

"Polis mengarahkan pemandu kereta itu dan rakan-rakannya menyerah diri tetapi dia terus memecut, menyebabkan anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan tersebut," kata beliau.

Mior Faridalathrash berkata dengan bantuan beberapa kereta peronda lain, polis kemudian menjumpai kereta Aeroback itu ditinggalkan dekat Apartmen Serina Bay sebelum ketiga-tiga suspek, seorang lelaki dan dua wanita ditahan.

"Pemandu kereta tersebut yang melarikan diri dipercayai cedera kerana terdapat kesan darah pada tempat duduk pemandu," kata beliau dan menambah kereta titu dipercayai dicuri di Jelutong.

Beliau berkata polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki yang cuba mendapatkan rawatan di mana-mana hospital atau klinik kerana cedera supaya menghubungi polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan