Tiga Penyanyi Dalam Klip Video Namewee Turut Dikesan - Polis

Diterbitkan: Selasa, 23 Ogos 2016 11:51 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang akan meminta polis Bukit Aman mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan tiga lelaki yang turut terlibat dalam klip video lagu Namewee.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata berdasarkan  keterangan awal Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, tiga lelaki yang juga penyanyinya adalah rakyat Taiwan dan menetap di sana.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kami akan cuba mendapatkan bantuan dari Interpol bagi membantu kesan tiga lelaki itu untuk merekodkan keterangan mereka.

"Setakat ini seramai tujuh orang telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes itu," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau menghadiri majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negara 2016 di Kontijen Pulau Pinang yang dirasmikan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Sementara itu Abdul Ghafar berkata pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dalam tempoh terdekat bagi membincangkan secara teliti isu itu.

"Kami akan pergi ke JAIPP untuk membincangkan perkara ini bagi mengetahui sejauh mana tindakan dan perbuatan Namewee menyanyi dan merakamkan aksi-aksi dalam masjid mengaibkan agama Islam," katanya.

Penyanyi rap kontroversi itu ditahan reman selama empat hari bermula  semalam bagi membantu siasatan kes klip video di sebuah masjid di Tanjung  Bungah, Pulau Pinang, yang didakwa menghina Islam.

Namewee ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari luar negara pada pukul 3.30 petang Ahad. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Klip video memaparkan rakaman empat lelaki yang menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin berdurasi 4.05 minit itu menjadi viral dan menimbulkan  kemarahan orang ramai kerana ia dipercayai menghina Islam.

Tags / Kata Kunci: Polis , Interpol , Namewee

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan