Lelaki Cedera Terkena Tembakan Rambang Di Kedai Makan

Diterbitkan: Selasa, 23 Ogos 2016 9:59 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Seorang lelaki cedera di betis kanan selepas terkena tembakan rambang yang dilepaskan seorang lelaki di sebuah kedai makan di Bunut Payong di sini, Selasa.

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, lelaki yang melepaskan tembakan itu bersama dua lagi lelaki menaiki kereta jenis Mercedes Benz, manakala mangsa berada di kedai makan itu bersama kira-kira 20 pelanggan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata mangsa yang berusia 22 tahun itu dikejarkan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata hasil maklumat diperoleh daripada saksi di tempat kejadian, suspek adalah tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Mercedes Benz berwarna perak.

"Mengikut saksi, ketika kejadian ada sebuah kereta melalui kawasan kedai makan dan secara tiba-tiba seorang lelaki keluar daripada kenderaan dan melepaskan dua das tembakan.

"Akibatnya seorang pelanggan, seorang lelaki berusia 22 tahun cedera di betis kanan selepas terkena tembakan dipercayai dilepaskan secara rambang dalam jarak antara lima hingga 10 meter," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, Selasa.

Ab Rahman berkata saksi juga memberitahu kenderaan dinaiki suspek kemudian  memecut ke arah Pasir Hor di sini, tetapi nombor pendaftaran gagal diperoleh  kerana mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Beliau berkata siasatan awal yang dilakukan di tempat kejadian, polis menemui sebutir timah dipercayai anak peluru serta kesan tembakan pada sebuah kenderaan berdekatan.

"Polis percaya senjata digunakan adalah pistol jenis Revolver," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu  supaya menyalurkannya kepada polis, manakala operasi mengesan kenderaan terbabit sudah dilancarkan termasuk mengadakan sekatan jalan raya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan