Dua Lelaki Diberkas, Ecstacy Bernilai Lebih RM28,000 Dirampas

Diterbitkan: Sabtu, 20 Ogos 2016 2:08 PM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Sibu merampas 569 pil disyaki ecstacy dianggarkan bernilai RM28,450 daripada dua lelaki dalam dua tangkapan berasingan di sini Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang sedang memandu sebuah van di Jalan Hou Ping di sini kira-kira pukul 1.50 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menjumpai 209 biji pil pelbagai warna dianggarkan bernilai pasaran RM10,450," katanya.Beliau berkata tangkapan itu kemudiannya membawa kepada satu serbuan ke atas sebuah premis di Lorong 10, Jalan Cherry di sini dan seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan.

"Hasil pemeriksaan polis menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi 310 biji pil berwarna biru, satu paket plastik lutsinar berisi 10 biji pil warna biru dan satu paket plastik lutsinar berisi 40 biji pil warna oren.

Kesemua pil disyaki dadah jenis ecstacy," katanya.

Saiful berkata, nilai pasaran untuk 360 biji yang berjaya dirampas itu dianggarkan sekitar RM18,000.

Beliau berkata pihaknya percaya dadah tersebut diperoleh daripada sumber yang sama dari Semenanjung.

Kedua-dua lelaki yang merupakan sahabat itu kini ditahan reman sehingga 25 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine.

Pemeriksaan lanjut mendapati mereka tiada rekod jenayah berkaitan narkotik. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: pil ecstacy , PDRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan