'Upline' Tertekan 'Dikejar' Pelabur Skim Cepat Kaya

Diterbitkan: Jumaat, 12 Ogos 2016 3:15 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: "Saya sering keresahan setiap hari kerana bimbang dibelasah pelabur yang datang menuntut modal mereka yang hangus dalam satu skim cepat kaya," luah Mat, 50-an, yang turut menjadi mangsa penipuan dalam skim tersebut.

Mat, yang merupakan seorang penjawat awam, berkata lebih menyedihkan beliau terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar secara ansuran sebanyak RM38,000 kepada 10 orang pelabur yang melabur di bawahnya sejak beberapa bulan lepas setelah syarikat pelaburan itu 'bungkus' pada April lepas.

"Pada mulanya, saya hanya menyertai pelaburan di syarikat ini secara bersendirian pada November lepas dengan membeli 10 lot saham berjumlah RM3,500, namun apabila ada rakan yang melihat pelaburan saya mula mendatangkan keuntungan, mereka mula menunjukkan minat sebelum membuat pelaburan di bawah saya..

"Secara automatik, saya dilantik menjadi 'ketua kecil' bagi kumpulan tersebut. Sebelum melabur, mereka semua faham dan sanggup menanggung risiko tinggi jika syarikat ditutup, namun sekarang semuanya terbalik apabila ada segelintir pelabur daripada kumpulan tersebut yang mendesak saya mengembalikan modal mereka," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Mat berkata akibat desakan itu, beliau terpaksa mengeluarkan sejumlah wang simpanannya di bank bagi membayar kembali modal yang hangus kepada pelabur di bawahnya selain terpaksa membayar secara ansuran kepada beberapa pelabur lain apabila menerima gajinya.

"Sehingga kini, saya terpaksa membuat bayaran kepada pelabur di bawah saya.

Ini merupakan kali pertama saya sertai skim ini. Dua bulan pertama sertai pelaburan ini pada tahun lepas, saya sempat merasa pulangan pelaburan sebanyak RM2,000, namun tidak menerimanya pada bulan ketiga dan seterusnya.

"Saya mula berasa tidak sedap hati dan apabila menghubungi pengurus kawasan, pelbagai alasan diberi oleh pengurus berkenaan mengenai keuntungan yang dijanjikan sehinggalah mengetahui cerita sebenar selepas beberapa orang ditangkap pihak polis baru-baru ini," katanya.

Mat mendakwa dalam tempoh tertentu, pengurusan tertinggi syarikat akan mengadakan pertemuan dengan pengurus kawasan di lokasi-lokasi tertentu, dan ketika pertemuan diadakan, pengurus kawasan akan menyerahkan wang pelaburan dikumpul di kawasan mereka kepada pengurusan tertinggi syarikat.

"Seorang rakan saya yang turut menjadi 'ketua kecil' bagi kumpulannya di Tanah Merah pernah menyerahkan wang tunai sebanyak RM500,000 kepada pengurus kawasan yang turut menguruskan kumpulan saya, namun difahamkan duit berkenaan tidak pernah diserahkan kepada pengurusan syarikat.

"Malah, sebelum syarikat itu menutup operasinya, pengurus kawasan yang sama turut mengadakan makan malam di sebuah hotel di sini dan beberapa rakan turut menyertai skim berkenaan dengan jumlah pelaburan mencecah RM50,000 tanpa mengetahui cerita sebenar," katanya.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Saufi, 45, berkata beliau kerugian RM7,000 selepas membeli sebanyak 20 lot saham daripada syarikat itu selepas diperkenalkan oleh seorang rakan pada awal 2015.

Saufi berkata pada awalnya membeli lapan lot saham berjumlah RM2,800 tetapi selepas dua bulan menerima bayaran keuntungan sebanyak RM1,600, beliau akhirnya menambah 12 lot saham bernilai RM4,200 kerana memikirkan untung yang bakal diperoleh sekiranya melabur dalam jumlah yang lebih banyak.

"Saya membuat pembelian saham menggunakan nama isteri serta adik-beradik dengan niat mahu menambah pendapatan mereka.

"Saya turut disyorkan oleh wakil syarikat terbabit supaya 'menarik' sanak saudara terlebih dahulu supaya menyertai skim terbabit ketika pertama kali membeli saham tersebut," kata Saufi yang juga seorang peniaga.

Saufi yang berasal dari Kampung Sireh di sini, berkata beliau mula menyedari ditipu apabila orang tengah yang sering dihubungi menghilangkan diri tanpa sebarang berita.

Beliau berkata apa yang dibimbangkan ialah sanak saudara yang turut melabur sering bertanyakan hal terbabit kepadanya sehingga menyebabkan dia tertekan.

"Walaupun seakan sudah berputus asa dan tahu wang sudah dilesapkan namun saya sebenarnya masih berharap agar wang yang dilaburkan itu diperoleh semula," katanya kepada Bernama.

Sehingga kini, seramai 16 orang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dengan kes penipuan syarikat pelaburan skim cepat kaya dikenali sebagai 'Highway Group' dengan beberapa siri tangkapan bermula 20 Julai lepas.

Kesemua suspek termasuk dua yang bergelar 'Datuk' yang juga dalang skim pelaburan haram itu ditahan dalam beberapa siri serbuan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dipetik sebagai berkata kumpulan berkenaan dipercayai memperdaya kira-kira 500,000 orang di seluruh negara dan Brunei dengan transaksi mencecah RM50 juta.

Menurut Acryl Sani, ada antara individu yang melabur, mengalami kerugian masing-masing antara puluhan ribu hingga jutaan ringgit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene dilaporkan berkata polis telah menerima 175 laporan daripada orang awam yang menjadi mangsa skim itu.

Tags / Kata Kunci: Skim Cepat Kaya

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan