Guru Disyaki Terkena Jangkitan Kencing Tikus Meninggal Dunia

Diterbitkan: Khamis, 11 Ogos 2016 11:50 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang guru yang dipercayai menghidap leptospirosis atau jangkitan kencing tikus meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini malam ini.

Mangsa Mohd Yusri Yaccob, 42, menghembuskan nafar terakhirnya pada 8.05 malam.

Dia disyaki terkena jangkitan penyakit itu selepas berkayak di Sungai Ketil, Baling, bulan lepas.

Adik mangsa, Mohd Yusman Yaccob, 35, berkata abangnya meninggal dunia akibat pendarahan otak serta kegagalan buah pinggang, hati dan jantung.

"Kami sekeluarga sedih tetapi reda dengan pemergiannya," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kota Rentang, Jitra, pagi Sabtu.

Mohd Yusri yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Seri Indera Putera, Ayer Hitam dilapor berkunjung ke Sungai Ketil pada 15 Julai lepas, bersama beberapa guru dan murid sekolah untuk menjalani aktiviti berkayak dan memanjat gunung di kawasan berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan