Air Ketum Campur Susu Berkultur, Trend Terkini Penagih Dadah

Diterbitkan: Khamis, 11 Ogos 2016 7:30 AM

(Ubah saiz teks)

PADANG BESAR: Minuman susu kultur pelbagai perisa dikesan digunakan oleh penagih dadah di negeri ini sebagai bahan tambahan bagi menyedapkan rasa air ketum.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis, Azizah Ahmad berkata trend baru yang digunakan segelintir penagih dadah itu adalah untuk memberi  rasa manis masam yang serba sedikit menghilangkan kepahitan rasa asli air ketum.

"Berdasarkan intipan dilakukan sejak Jun lepas dalam operasi pencegahan,  para penagih yang ditangkap kebanyakannya mengaku meminum air ketum dengan campuran perisa baharu itu jika tidak mendapatkan bekalan dadah.

Berbeza dengan sebelum ini, air ketum akan dicampur bersama minuman berkarbonat seperti Coca-Cola atau ubat nyamuk sebagai penambah perisa," katanya kepada pemberita selepas tamat Operasi (Ops) Cegah 15/2016 di Pejabat AADK Perlis Utara di sini, Khamis.

Azizah berkata melihat kepada keadaan penagih yang ditangkap beliau tidak menolak kemungkinan ketagihan air ketum yang sudah dicampur dengan pelbagai cara itu mempunyai kesan buruk yang menyerupai kesan ketagihan pengambilan dadah. 

Sementara itu, Azizah berkata sehingga Julai tahun ini sebanyak 1,413 penagih direkodkan di negeri ini berbanding tempoh sama tahun 2015 iaitu sebanyak 738 penagih termasuk penagih baru dan berulang.

"Peningkatan sebanyak 675 orang berbanding tahun lepas menunjukkan bahawa semua pihak di negeri ini perlu mengambil sikap berjaga-jaga dan berusaha lebih keras bagi membendung gejala ini," katanya.

Berkenaan Ops Cegah 15/2016, seramai 117 individu berusia antara 16 hingga 50 tahun disyaki penagih telah ditahan, 25 daripadanya positif dadah jenis methamphetamine (syabu) manakala seorang lagi positif ganja.

Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.

Ops sepanjang tiga hari bermula Selasa lepas hingga pagi tadi disertai 57 penguatkuasa termasuk dari Ibu Pejabat AADK, AADK Perlis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis menumpukan kepada tujuh kawasan panas.

Tujuh kawasan terbabit ialah Tok Kuning, Kampung Binjai, Wang Ulu, Kampung Surau, Kampung Tok Kandang, Kampung Teluk dan Alor Redis yang dikenal pasti menjadi sarang utama aktiviti penagihan dadah.

Lima lagi kawasan akan dibersihkan secara berperingkat iaitu di Padang Katong, Gunung Medan, Kampung Sentua, Taman Bunga Padi, dan Taman Jeliti, katanya.

-- Bernama
Tags / Kata Kunci: air ketum , AADK

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan