Lelaki Maut Ditetak

Diterbitkan: Isnin, 8 Ogos 2016 2:24 PM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera dalam kejadian tetak di Taman Angsamas, dekat sini Ahad malam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Zaki Harun berkata dalam kejadian pada pukul 8.30 malam, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 36 dan 39 tahun, diserang sekumpulan lelaki yang dikenali menggunakan senjata tajam dipercayai parang.

Mangsa yang cedera parah di kepala dan bahagian kiri leher, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya yang turut cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Keadaannya dilaporkan stabil.

Bercakap pada sidang media di sini pada Isnin, beliau berkata susulan kejadian itu, polis berjaya menahan empat orang suspek dengan tangkapan pertama dibuat pada pukul 9.30 malam hari yang sama dan menjumpai motosikal yang digunakan suspek ketika kejadian.

"Daripada tangkapan pertama, kita berjaya menahan seorang lagi suspek pada pukul 10 malam yang turut memukul mangsa dan merampas sebatang rotan yang digunakan.

"Lanjutan daripada itu, kita telah membuat pengesanan di beberapa lokasi dan akhirnya suspek utama yang berusia 23 tahun datang menyerah diri di balai polis Seremban awal pagi tadi," katanya.

Mohamad Zaki berkata polis turut menahan isteri suspek utama berusia 26 tahun yang membawa polis ke sebuah kawasan di Kuala Sawah, tempat senjata yang digunakan itu dibuang.

Polis kini giat memburu dua lagi rakan suspek yang telah dikenal pasti identitinya, katanya.

Beliau berkata motif kejadian dipercayai akibat pergaduhan antara rakan memandangkan kesemua mereka yang terlibat mengenali antara satu sama lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tags / Kata Kunci: Seremban , Tetak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan