Polis Terima Laporan Fitnah Kaitkan MB Johor

Diterbitkan: Jumaat, 5 Ogos 2016 7:18 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Polis menerima satu laporan berkaitan penyalahgunaan laman media sosial yang kandungannya berunsur fitnah, palsu dan jelik mengaitkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam satu kenyataan di sini pada Khamis malam, Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata laporan itu diterima pada pukul 3.05 petang.

Beliau berkata kenyataan itu dikeluarkan melalui satu blog yang dikenali sebagai 'MYNATION' dan dipercayai boleh mendatangkan kekeliruan terhadap orang ramai dan menganggu keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, Wan Ahmad Najmuddin berkata polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan kenyataan untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan menganggu orang lain.

Beliau berkata sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa, sifat hormat-menghormati dan sifat kesopanan dan kesusilaan antara satu sama lain adalah bagi menjamin keharmonian sesebuah negara.

"Saya juga mengingatkan polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Johor Ahmad Asri Khalbi ketika dihubungi mengesahkan membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah Iskandar Puteri semalam.

Laman blog itu dalam salah satu artikelnya mendakwa Mohamed Khaled merupakan 'orang yang merestui' di sebalik akaun Facebook 'Johor Bangkit' yang menyebarkan foto manipulasi sehingga meninggalkan persepsi negatif terhadap Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor baru-baru ini.

Tags / Kata Kunci: Khaled Nordin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan