Pemuda Maut Kereta Bertembung Treler Muatan Sawit - Berita Jenayah | mStar

Pemuda Maut Kereta Bertembung Treler Muatan Sawit

Diterbitkan: Selasa, 26 Julai 2016 10:34 AM

(Ubah saiz teks)

DUNGUN: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 73 Jalan Jerangau-Jabor di hadapan Pusat Koreksional Bukit Besi, pada Isnin malam.

Insiden kira-kira pukul 8.10 malam itu menyebabkan mangsa Syed Roslim Syed Ali, 26, terbunuh di tempat kejadian.

Nahas itu dipercayai berlaku selepas kereta Proton Wira yang dipandu mangsa dari arah Ajil ke Bukit Besi hilang kawalan dan berpusing sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Sejurus selepas itu sebuah treler yang membawa muatan kelapa sawit dipandu dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh kereta itu dan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Jas Wari Awang berkata, enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

"Kita mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu," katanya ketika ditemui ditempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan menurutnya mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

"Pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencing telah dilakukan kepada pemandu treler yang berasal dari Ajil itu negatif daripada pengaruh dadah," katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan