Pesara Wanita Ditahan Cuba Tukar 'Black Money' Di Kaunter BNM

Diterbitkan: Jumaat, 22 Julai 2016 6:07 PM

bank negara
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pesara wanita cuba menukar wang palsu di Bank Negara Malaysia (BNM) menerima padah apabila dia ditahan polis pada 13 Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur ACP Izany Abdul Ghany berkata pihaknya mendapat laporan daripada BNM mengenai wanita berusia 61 tahun itu, yang kini bekerja sebagai ejen insurans, ingin menukar sebanyak 102 keping wang kertas RM100 yang telah rosak.

"Wanita itu mendakwa wang berkenaan rosak akibat termasuk di dalam mesin basuh yang menyebabkan warnanya luntur. Merasa sangsi dengan wang kertas yang ingin ditukarnya, pihak BNM telah memaklumkan kepada polis dan kami bertindak menahan wanita itu.

"Hasil soal siasat, polis membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam, dekat sini pada 14 Julai lepas dan menemui sebuah kotak yang mengandungi lebih 5,000 keping kertas hitam 'black money' berserta sebotol cecair dipercayai bagi tujuan 'mencuci' duit itu," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Menurutnya wanita itu dipercayai memperoleh wang palsu itu dari seorang lelaki warga Afrika, yang dipercayai anggota sindiket pemalsuan wang.

"Siasatan masih dijalankan sama ada wanita itu terlibat secara langsung dengan sindiket pemalsuan wang itu atau dia diperdaya sindiket berkenaan," katanya.

Izany berkata kes disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan kerana memiliki wang kertas yang dipalsukan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Tags / Kata Kunci: BNM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan