Wanita Buat Kenyataan Palsu Terhadap Permaisuri Johor Ditahan

Diterbitkan: Khamis, 21 Julai 2016 11:10 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang wanita pada Khamis kerana dipercayai membuat kenyataan palsu terhadap Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata wanita berumur 25 tahun yang dipercayai individu menggunakan akaun Facebook atas nama Ira Lalola itu ditahan kira-kira 4.50 petang tadi di Kampung Parit Sempadan, Parit Raja, dekat Batu Pahat.

"Terdahulu, polis Johor telah menerima satu laporan pada kira-kira 3.45 petang tadi berkaitan penyalahgunaan laman media sosial.

"Laporan polis tersebut adalah berkenaan dengan satu kenyataan palsu terhadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Permaisuri Johor berhubung dengan isu keagamaan Islam di Johor.

"Kenyataan palsu yang dikeluarkan itu boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara. Hasil siasatan yang dijalankan mendapati bahawa DYMM Permaisuri Johor tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebagaimana yang terdapat dalam laman media sosial Facebook tersebut," katanya menerusi kenyataan di sini Khamis.

Wan Ahmad Najmuddin berkata polis turut merampas tiga telefon bimbit jenis Nokia, Huawei dan Doogee yang dipercayai digunakan suspek bagi memuat naik kenyataan palsu tersebut.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan kenyataan menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

Polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit, katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan