Anggota Tentera Bergurau Bawa Bom Akan Didakwa

Diterbitkan: Khamis, 21 Julai 2016 9:25 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Seorang anggota tentera yang membawa kek lapis, ikan terubuk masin dan pakaian di dalam bagasinya untuk menaiki penerbangan ke Kota Baharu pagi ini namun bergurau kononnya dia membawa bom, akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Walaupun lelaki terbabit menyatakan yang beliau hanya bergurau tetapi adalah satu kesalahan untuk berbuat demikian di tempat awam seperti di lapangan terbang," kata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai.

Gurauan ancaman bom palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAK) itu mengakibatkan beberapa penerbangan dari dan ke Kuching tergendala, katanya pada sidang media di sini Khamis.

Beliau berkata Lans Koperal berusia 25 tahun dan berasal dari Kuching tetapi bertugas di Kelantan itu kini ditahan dan akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Katanya polis akan menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya.

Menurut Abang Ahmad, pihaknya mempunyai asas yang kukuh untuk mendakwa lelak berkenaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kegusaran kepada orang awam.

"Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya," kata Abang Ahmad.

Beliau berkata dalam kejadian pada 10.15 pagi, anggota tentera itu, ketika berada di kaunter pendaftaran masuk di LTAK, telah berkata kepada seorang kakitangan syarikat penerbangan kononnya di dalam beg yang dibawanya ada bom dan dia akan meletupkan pesawat.

Kakitangan syarikat penerbangan itu kemudian memaklumkan kepada pegawai atasannya yang kemudian menghubungi polis, kata Abang Ahmad.

Beliau berkata unit pemusnah bom turut dikerah ke LTAK dan setelah disiasat, tiada bom dijumpai di dalam beg seperti yang dikatakan lelaki terbabit, sebaliknya hanyalah kek lapis, ikan terubuk masin dan pakaian.

Katanya polis memandang serius kejadian itu dan akan mengambil tindakan tegas untuk mengelak kejadian seumpama itu daripada berulang.

Beliau berkata operasi di LTAk kembali seperti biasa pada jam 12.30 tengah hari.
Tags / Kata Kunci: ancaman bom , LTAK , Abang Ahmad Abang Julai

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan