Pengawal Keselamatan Maut Dihempap Pagar Sekolah

Diterbitkan: Ahad, 17 Julai 2016 11:30 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

MIRI: Seorang pengawal keselamatan wanita maut dihempap pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Lutong di sini pada pukul 3.30 petang Ahad.

Timbalan Ketua Polis Miri, Supt Stanley Johnathan Ringgit berkata, mangsa Junatin Empaga, 47, sedang menolak pintu pagar besi setinggi 183 cm (enam kaki) dan sepanjang 762cm (25 kaki) untuk menutupnya. 

"Tiba-tiba salah satu roda pagar terlepas (dari landasan) menyebabkan pagar tumbang dan terus menghempap mangsa," katanya ketika dihubungi pada Ahad malam.

Stanley berkata, ambulan dari Hospital Miri telah dipanggil untuk memberi rawatan segera namun mangsa disahkan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian tersebut dilaporkan oleh suami mangsa, juga pengawal keselamatan di tempat yang sama dengan menghubungi polis.

"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat," katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan