Pasangan Kekasih Menyamar Polis Cuba Ceroboh Bukit Aman Ditahan - Berita Jenayah | mStar

Pasangan Kekasih Menyamar Polis Cuba Ceroboh Bukit Aman Ditahan

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2016 4:34 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih yang berada dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengaruh dadah, ditahan kerana cuba memasuki Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan menyamar sebagai anggota polis malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata dalam kejadian 10 malam Selasa, seorang lelaki dan wanita berusia 30-an cuba memasuki kawasan Bukit Aman dengan menaiki kereta Honda CRZ Hybrid merah.

"Lelaki itu memberitahu bahawa dia adalah anggota Bukit Aman dan hendak masuk ke dalam kawasan itu, namun pemeriksaan polis di pintu masuk mendapati dia bukan seorang anggota polis," katanya.

Zainol berkata pemeriksaan ke atas suspek menemukan tujuh biji mercun bola yang disimpan di dalam beg sandangnya.

"Hasil siasatan mendapati mendapati kedua-dua suspek tiada kaitan dengan ancaman keganasan tetapi berada di bawah pengaruh dadah," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan air kencing ke atas pasangan kekasih itu mendapati mereka positif dadah methamphetamine.

Katanya kedua-dua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan direman tiga hari bermula Rabu bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 448 serta 511 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan cubaan melakukan jenayah. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: ceroboh , Bukit Aman
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan