Zaharul Masih Tidak Pulang Sambut Aidilfitri Bersama Keluarga

Diterbitkan: Selasa, 12 Julai 2016 2:34 PM

Zaharul hilang sejak 6 Jun lalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Luluh hati sepasang suami isteri apabila mengenangkan anak lelaki mereka yang hilang sejak 6 Jun lepas masih belum ditemui sehingga hari ini.

Kanak-kanak itu dikenali sebagai Zaharul Nizam Zainudin, 12, yang beralamat di Jalan Pandan Indah, Selangor tidak pulang ke rumah walaupun telah memasuki hari ketujuh Aidilfitri.

Bapanya Zainudin Zahari, 44, percaya anaknya telah keluar rumah untuk pergi bermain di pusat internet pada hari pertama Ramadan dan kehilangan anaknya itu hanya disedari setelah semalaman dia tidak pulang ke rumah.

Bapa dan ibunya, Huwani Nahar, yang berusia 30-an, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya enam hari kemudian.

Menurut Zainudin, Zaharul sering mengunjungi pusat internet untuk bermain dan melayari internet dan dia juga pernah beberapa kali tidak pulang ke rumah tetapi hanya semalaman.

"Biasanya dia akan pulang pada keesokan harinya namun sehingga kini langsung tidak balik ke rumah," katanya.

Menurutnya, anaknya itu yang merupakan murid Sekolah Rendah Ampang Campuran, Ampang itu keluar sehelai sepinggang tanpa membawa pakaian mahupun wang ketika dia dan isterinya tiada di rumah kerana bekerja.

Zainudin yang juga seorang pemandu teksi berkata sambutan Aidilfitri kali ini tidak disambut meriah malah diselubungi suasana pilu tanpa kehadiran anak kedua daripada tiga beradik itu.

"Isteri saya sering termenung dan hanya menangis setiap hari bertanyakan tentang Zaharul," katanya.

Beliau buntu sehingga kini belum mendapat sebarang petunjuk keberadaan anaknya itu walaupun telah melakukan pelbagai usaha termasuk mencari di rumah rakan-rakan anaknya termasuk meminta bantuan orang ramai bagi mengesan Zaharul.

"Kami juga telah membuat hebahan iklan kehilangan Zaharul melalui laman sosial Facebook dan menampal poster di tempat awam," katanya.

Justeru, beliau memohon mana-mana individu yang menemui anaknya supaya menghubunginya di talian 0166002458 atau balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias mengesahkan menerima laporan kes berkenaan pada 12 Jun lepas dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Shamsiah Noor Zakaria di talian 0128308706 atau 0342897222. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan