Empat Lelaki Ditahan Bantu Kes Culik Anak Datuk

Diterbitkan: Selasa, 12 Julai 2016 8:08 PM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja lelaki berusia 13 tahun diculik di kawasan taman permainan berhampiran rumahnya di sini pada 29 Jun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Razaruddin Hussain @ Abdul Rashid berkata keempat-empat lelaki berusia 20-an itu ditahan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah sejak semalam hingga awal pagi Selasa.

Remaja yang merupakan anak seorang ahli perniagaan bergelar datuk itu selamat dan dibebaskan setelah wang tebusan dibayar, katanya yang enggan mendedahkan jumlah wang yang dibayar.

Beliau berkata remaja itu dilaporkan diculik sekumpulan lelaki ketikabermain bersama beberapa rakannya di taman permainan berkenaan kira-kira pukul 3petang.

"Dua lelaki turun daripada kereta dan menarik remaja itu ke dalam kenderaan tersebut sebelum mereka memecut meninggalkan kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Razaruddin berkata kejadian itu disedari orang ramai yang berada di kawasan berkenaan dan mereka cuba membantu dengan mengejar kereta suspek tetapi gagal.

Susulan itu polis melancarkan operasi dan berjaya menemui semula pelajar tingkatan satu berkenaan di kawasan Alma kira-kira pukul 11 malam hari yang sama, katanya.

Beliau berkata polis sedang mengesan beberapa lagi suspek termasuk dalang utama kes itu. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Kes culik , anak datuk

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan