Jeritan Wanita Selamatkan Budak Perempuan Daripada Dicabul

Diterbitkan: Selasa, 21 Jun 2016 9:21 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Jeritan seorang wanita menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan prasekolah daripada dicabul seorang lelaki dalam kejadian di Taman Kota Jaya dekat Kota Tinggi pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, wanita berkenaan yang sedang berada di ruangan dapur rumahnya, ternampak kelibat seorang lelaki bersama seorang kanak-kanak perempuan memberhentikan motosikalnya di belakang rumahnya.

"Wanita itu kemudian dengan jelas melihat suspek membuka seluarnya dan  mengeluarkan kemaluannya, sebelum menarik baju prasekolah kanak-kanak tersebut.

"Terkejut dengan perbuatan itu, wanita berkenaan menjerit sekuat hati sambil mengetuk cermin dapur rumah, menyebabkan suspek terperanjat dan terus memecut motosikal meninggalkan kawasan rumah itu," kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman.

Wanita itu yang tidak puas hati dengan perbuatan itu membuat laporan tentang kejadian itu di Balai Polis Kota Tinggi pada 10.45 pagi Selasa.

Rahmat berkata kanak-kanak perempuan enam tahun itu telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk pemeriksaan.

Beliau berkata identiti suspek telah dikenal pasti dan akan diambil tindakan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Sementara itu, kes tersebut menjadi viral di laman sosial Facebook sejak Isnin  dengan netizen mengutuk perbuatan lelaki berkenaan.- BERNAMA

Tags / Kata Kunci: cabul , budak perempuan , Kota Tinggi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan