Kanak-Kanak Enam Tahun Cedera Digigit Beruk

Diterbitkan: Isnin, 20 Jun 2016 2:32 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun cedera di betis kanan selepas digigit seekor beruk yang dipelihara berhampiran rumahnya di Kampung Paya Mengkuang, Pendang, Ahad.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, Nur Syahadatul Fatehah Mohd Shahbudin, 6, sedang bermain dengan sepupu dan beberapa rakannya sebelum beruk terbabit menyerang anaknya.

Ibu mangsa, Mashitah Taha, 40, berkata ketika kejadian dia sedang memasak di dapur sebelum salah seorang penduduk berhampiran memaklumkan kejadian yang menimpa anak bongsunya itu.

"Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan terkejut melihat keadaan anak yang berlumuran darah dan sedang menjerit kesakitan. Beruk yang menggigit anak gagal dikesan kerana telah melarikan diri.

"Kami terus membawa dia ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan namun terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana keadaan lukanya yang agak serius," katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini Isnin.

Mashitah berkata Nur Syahadatul Fatehah dijadualkan akan menjalani pembedahan pada Isnin kerana mengalami luka yang agak dalam sehingga menampakkan tulang betisnya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: digigit , beruk

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan