Kanak-Kanak Lelaki Kritikal Dipercayai Dipatuk Ular Tedung Di Mersing

Diterbitkan: Khamis, 16 Jun 2016 3:52 PM

(Ubah saiz teks)

MERSING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun sembilan bulan kritikal dipercayai dipatuk seekor ular tedung senduk di dalam rumahnya di Kampung Wak Salam di sini, Rabu malam.

Kejadian berlaku kira-kira 9 malam ketika mangsa, Muhammad Iskandar Muhammad Syukri, sedang leka bermain di ruang tamu sebelum disedari ibunya, Nur Jannah Abdullah, 17, apabila mendengar tangisan kanak-kanak itu.

Muhammad Iskandar dihantar ke Hospital Mersing dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu, untuk rawatan lanjut.

Bangkai ular yang dipercayai mematuk Muhammad Iskandar di rumahnya di Kampung Wan Salam, Rabu malam. 

Nur Jannah yang ditemui pemberita berkata, dia sedang mengemas rumah ketika kejadian dan terus ke sisi Muhammad Iskandar sejurus mendengar tangisan anaknya.

"Saya mendapati kaki kiri Muhamad Iskandar terdapat kesan gigitan dan ketika sedang menyapu ubat di kaki terbabit, saya ternampak seekor ular tedung senduk berdekatan lalu memanggil suami yang ketika itu baru sahaja pulang dari kerja," katanya yang merupakan seorang suri rumah.

Nur Jannah berkata suaminya, Muhammad Syukri Abdullah, 19, yang bekerja sebagai pembantu kedai, terus menangkap dan membunuh ular tersebut dengan bantuan jiran berhampiran lalu membawa anak mereka ke Hospital Mersing.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan