PRK Sg Besar: 17 Laporan Polis Diterima

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2016 1:54 PM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI BESAR: Tujuh belas laporan polis diterima sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, kata Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat (gambar).

Daripada jumlah tersebut, tujuh kes di bawah siasatan Timbalan Pendakwa Raya kerana melanggar peraturan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Lima daripada tujuh kes itu ialah dua kes ceramah dijalankan tanpa permit di Bagan Besar dan Sekinchan, dua kes adalah papan tanda berupa hasutan dan satu kes mempamerkan bendera parti yang tidak bertanding," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini, Selasa.

Bagaimanapun katanya, dua daripada tujuh kes itu telah ditutup baru-baru ini atas nasihat daripada Timbalan Pendakwa Raya iaitu kes kecurian dompet, kecurian meja dan kerusi plastik petugas di sebuah bilik gerakan serta satu lagi kes bendera terbakar yang dilaporkan di Sungai Panjang.

Abdul Samah berkata pihaknya mengambil keterangan semua pihak termasuk anggota politik, petugas jentera serta orang ramai yang terlibat untuk membantu dalam siasatan kes-kes berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul Samah turut memberi jaminan keselamatan para pengundi di Parlimen Sungai Besar pada hari mengundi Sabtu depan.

"Kami beri jaminan kepada pengundi bahawa keselamatan mereka akan terjamin, jadi tak perlu gusar untuk keluar mengundi.

"Malah, sepanjang tempoh berkempen PRK Sungai Besar ini berjalan dengan baik dan kami arahkan semua parti dapat meneruskan kempen dengan aman sehingga hari terakhir," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah menegaskan pasukan penguat kuasa kempen akan menurunkan papan tanda dan poster yang didapati melanggar syarat yang ditetapkan oleh Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya hanya calon yang bertanding sahaja dibenarkan memaparkan poster masing-masing.

"Walaupun (dalam poster) itu dia ajak balik undi, sebenarnya tidak boleh.

Nanti akan jadi macam-macam dan boleh menyebabkan pihak lain terasa hati," katanya, mengulas isu sebuah papan tanda yang memaparkan parti DAP yang tidak bertanding pada PRK Parlimen Sungai Besar yang dipamerkan di Pekan Sekinchan.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata peti undi bagi pengundian awal ini disimpan di lokap balai polis Sekinchan dan akan dikira bersekali dengan kertas undi lain selepas 4 petang, pada 18 Jun depan.

Seramai 286 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab di kawasan Parlimen Sungai Panjang dan Sekinchan yang bermula tepat 8 pagi ini.

Proses pengundian awal itu berlangsung di dua saluran, iaitu Bilik Cawangan Latihan/Sukan IPD Sabak Bernam seramai 265 pengundi (Sungai Besar) dan Bilik Cawangan Latihan/Sukan IPD 1 Sabak Bernam seramai 21 pengundi (Sekinchan).

Dijangkakan pusat pengundi di Bilik Cawangan Latihan/Sukan IPD Sabak Bernam akan ditutup pada 5 petang manakala Bilik Cawangan Latihan/Sukan IPD 1 Sabak Bernam pada 2 petang.

Tags / Kata Kunci: Sungai Besar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan