Kematian Menantu TPM: Siasatan Kementerian Kesihatan Selesai

Diterbitkan: Ahad, 12 Jun 2016 2:10 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan telah menyelesaikan siasatan berhubung kematian menantu timbalan perdana menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pihaknya kini sedang menunggu hasil siasatan Polis Diraja Malaysia yang dijangka siap sepenuhnya minggu depan untuk tindakan lanjut.

"Bila kedua-dua pihak dah siap, baru kita boleh ambil tindakan mengikut perundangan di bawah kawalan Kementerian Kesihatan manakala polis pula melihat dari sudut Kanun Acara Jenayah," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program pencarian bakat bola sepak Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) di Stadium Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, dekat sini.

Syed Alman Zain, 44, suami kepada anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid meninggal dunia pada 1 Jun lepas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mendapatkan rawatan pergigian di sebuah klinik swasta di ibu negara.

Sementara itu, Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata program pencarian bakat bola sepak yang dijalankan MIFA dengan kerjasama Unit Khas Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) menerima sambutan menggalakkan.

"Dengan dana berjumlah RM2.6 juta yang ditaja SEDIC, kita telah menjalankan bengkel latihan dan usaha mencari bakat generasi muda dengan penyertaan sebanyak 2,300 orang di semua 37 tempat, iaitu sekali ganda daripada sasaran awal 1,200 orang," katanya.

Justeru itu beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat mempertimbangkan untuk menambah jumlah peruntukkan bagi MIFA terus menjalankan program transformasi sukan dalam kalangan masyarakat India di seluruh negara.

"Kita memerlukan dana lebih kurang RM10 juta setiap tahun untuk meneruskan program yang memang menjadi agenda transformasi MIC ini," katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan dan legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan