Lelaki Ditahan Dipercayai Dera Anak Tiri Berusia Tujuh Tahun

Diterbitkan: Jumaat, 27 Mei 2016 6:05 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Polis menahan seorang lelaki di rumahnya di Flat Taman Selesa Jaya, Skudai, di sini, petang semalam, selepas dipercayai mendera seorang anak lelaki tirinya yang berusia tujuh tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superitendan Noor Hashim Mohamad berkata lelaki berumur 40 tahun itu ditahan pada kira-kira 5 petang selepas polis menerima laporan daripada seorang doktor di sebuah klinik kesihatan di Skudai, kira-kira 11 pagi, Khamis.

"Kanak-kanak itu dibawa ke klinik oleh pihak sekolah pada 17 Mei lepas setelah mengadu sakit di seluruh anggota badan. Pemeriksaan doktor kemudian mendapati dia mengalami beberapa kecederaan termasuk pendarahan dalaman pada mata kanan, lebam pada mata kiri, lebam di belakang badan dan kesan cubitan pada badan," katanya menerusi kenyataan Jumaat.

Noor Hashim berkata berdasarkan siasatan awal, lelaki itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, mengaku ada memukul anak tirinya.

Beliau berkata kanak-kanak itu menetap di rumah tersebut bersama ibunya yang juga merupakan isteri kedua lelaki tersebut.

Katanya, kanak-kanak tersebut dipercayai didera kerana sering membawa pulang barang milik rakan sekolahnya yang menyebabkan suspek marah dengan perbuatan tersebut.

Sehubungan itu, lelaki terbabit kini direman bermula hari ini sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, katanya.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: dera , Flat Taman Selesa Jaya , anak tiri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan