Kastam Tumpas Cubaan Seludup Syabu Bernilai RM3.5 Juta - Berita Jenayah | mStar

Kastam Tumpas Cubaan Seludup Syabu Bernilai RM3.5 Juta

Diterbitkan: Rabu, 25 Mei 2016 12:25 PM

Pengarah Kastam Sabah Datuk Dr Janathan Kandok menunjukkan dadah jenis methamphetamine bernilai 3.5 juta yang dirampas Sabtu lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dalam satu sidang media pada Rabu.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kastam Sabah menumpaskan cubaan menyeludup syabu seberat 6.239kg bernilai RM3.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 21 Mei lepas.

Pengarahnya Datuk Dr Janathan Kandok berkata seorang lelaki berumur 34 tahun ditahan ketika mengambil bagasinya kira-kira pukul 3.40 petang selepas tiba dari Kuala Lumpur.

"Dadah itu dibungkus dalam enam bungkusan plastik dan dibalut dengan surat khabar lama sebelum dimasukkan dalam satu kotak.

"Kita mencurigai kandungan kotak itu dan melakukan imbasan terhadap kotak berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Janathan berkata pihaknya percaya lelaki itu mungkin terlibat dengan sindiket penyeludupan dadah kerana berat dan nilai rampasan adalah besar.

Ditanya mengapa bagasi lelaki itu tidak diimbas terlebih dahulu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dibenarkan menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu, beliau berkata kastam biasanya tidak melakukan pemeriksaan bagasi untuk penerbangan domestik.

Jelasnya, ini kerana barang melalui penerbangan domestik tidak melibatkan duti kastam.

"Bagaimanapun, memandangkan Sabah sering menjadi transit penyeludupan dadah, kastam negeri sentiasa membuat pemeriksaan, termasuk menggunakan anjing pengesan untuk mengesan dadah," katanya.

Tags / Kata Kunci: Kastam , Syabu
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan