Pegawai Bank Ditahan, Hantar Mesej Jelik Kepada Kerabat Rapat Diraja Johor

Diterbitkan: Jumaat, 20 Mei 2016 3:08 PM

Datuk Wan Ahmad Najmuddin

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Seorang pegawai bank ditahan polis semalam setelah didapati menghantar mesej jelik kepada kerabat rapat Diraja Johor, kata Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Beliau berkata lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan di tempat kerjanya di menara bank di Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.20 malam.

Ia susulan laporan polis yang dibuat seorang petugas istana Diraja Johor kira-kira 10.30 pagi pada hari yang sama, katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah telefon bimbit berserta dua unit kad sim daripada lelaki itu.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek memperolehi butiran maklumat nombor telefon bimbit kerabat rapat Diraja Johor itu dengan cara yang tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.

"Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998 yang memperuntuk denda maksimum RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebih setahun atau kedua-duanya.

"Kes juga akan dirujuk ke Jabatan Perlindungan Data Peribadi bagi maksud siasatan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010," katanya.

Wan Ahmad Najmuddin berkata suspek kini dalam tahanan reman selama dua hari bermula semalam sementara siasatan dilengkapkan.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi dengan menghantar mesej bersifat jelik yang menyusahkan orang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan