PDRM Tubuh Unit Siasatan Siber Seksual Kanak-Kanak

Diterbitkan: Khamis, 19 Mei 2016 7:00 AM

Khalid Abu Bakar.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan Unit Siasatan Siber Seksual Kanak-Kanak (CCSI) bagi menangani kes jenayah baharu iaitu kegiatan eksplotasi kanak-kanak melalui media sosial, awal bulan ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan berkenaan akan dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

"Kes-kes serangan seksual, kes keganasan rumah tangga dan kanak-kanak telah menjadi lebih kompleks dan rumit.

"Timbul pula kes baharu melibatkan ekplotasi ke atas wanita, gadis dan kanak-kanak tanpa sentuhan fizikal daripada penjenayah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian penutupan Seminar Pegawai Kanan Polis Wanita 2016 di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini Rabu.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Dalam pada itu, Khalid mendedahkan terdapat warga asing yang menjalankan aktiviti serangan seksual ke atas gadis dan kanak-kanak di negara ini melalui media sosial.

"Modus operandi yang digunakan dinamakan 'cyber sexual grooming' di mana kumpulan ini 'melatih' mangsa untuk melakukan aksi seksual melalui Internet.

"Mereka menggunakan ayat yang manis untuk memperdaya mangsa dan dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Tanpa mendedahkan bilangan kes yang berlaku, Khalid berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak seawal usia 13 tahun terlibat dalam aktiviti itu.

"Kami masih lagi menyiasat perkara ini dan maklumat awal adalah mereka menyasarkan kanak-kanak perempuan," katanya.

Seminar bertemakan 'Pembangunan Polis Wanita Dalam Era Kepolisan Moden' itu dihadiri 200 pegawai polis dari seluruh negara. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: PDRM , CCSI , jenayah seksual siber

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan