Seorang Pemandu Cedera Kren Rempuh Kereta, Rumah

Diterbitkan: Khamis, 19 Mei 2016 2:11 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang lelaki cedera selepas sebuah kren merempuh keretanya di Seksyen 17 di sini, Khamis.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Mustada Silong, kren itu sedang menaiki kawasan cerun sebelum enjinnya terhenti menyebabkan brek gagal berfungsi.

"Kren mula bergerak ke belakang menuruni bukit, merempuh sebuah kereta dan juga rumah," kata Mustada.

Lelaki berusia 59 tahun yang memandu sebuah kereta mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

Isterinya yang turut berada di dalam kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kami hendak pergi keluar untuk sarapan pagi apabila terdengar bunyi dentuman yang kuat.

"Saya dapati sebuah kereta berada di bawah kren manakala dinding dan bilik stor rumah saya rosak," kata Giam Wei Li, 31.

Giam berkata dia dan keluarganya tinggal di rumah tersebut selama lebih 30 tahun dan baru sahaja melakukan kerja pengubahsuaian dua tahun lalu.

"Syukur tiada siapa berada di bilik stor membuat kerja membasuh," katanya.

Pasukan bomba menerima panggilan daripada seorang saksi pada pukul 9.34 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 9.40 pagi.

Polis turut dikejarkan ke lokasi untuk mengawal keadaan trafik.

Tags / Kata Kunci: kren , kemalangan , Seksyen 17

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan