Polis Rujuk Kes Suami Tendang Isteri Ke Jabatan Agama

Diterbitkan: Rabu, 18 Mei 2016 5:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Kes suami menendang isterinya yang masih dalam pantang di sebuah kedai dobi di sini dan rakaman video insiden itu menjadi viral di laman sosial, akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata tindakan itu diambil selepas wanita berusia 25 tahun yang merupakan suri rumah, enggan membuat laporan polis walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian pada Isnin lalu.

"Wanita itu tidak mahu suaminya yang berusia 29 tahun yang juga seorang buruh dikenakan tindakan. Oleh itu, kita serahkan kepada JAIP supaya tindakan seperti kaunseling dapat dilakukan.

"Kita tidak mahu masyarakat menganggap polis tidak mengambil sebarang tindakan ke atas lelaki itu walaupun video kejadian telah diviralkan di laman sosial Facebook," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Abdul Aziz juga mengesahkan wanita itu yang berasal dari Kuantan tidak pernah membuat laporan polis terhadap suaminya.

Beliau memaklumkan pemilik kedai dobi di Jalan Mat Kilau di sini, juga membuat laporan polis semalam, bagi menafikan beliau adalah individu yang menyebarkan video berdurasi seminit itu.

"Pemilik kedai dobi menyatakan beliau menyedari kejadian semasa menonton semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bersama rakan. Anak saudara rakannya yang ada bersama telah menyebarkan video itu," katanya.

Polis bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan kepada individu berkenaan, kata Abdul Aziz.

Rakaman yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini menunjukkan suami mangsa yang berada di depan kedai itu membaling bakul plastik ke arah isterinya sebelum masuk dan menendang pinggang wanita yang baharu melahirkan anak kedua.

Lelaki itu bagaimanapun turut jatuh kerana terpijak baju di atas lantai.

Video itu turut menunjukkan anak sulung mangsa yang masih kecil menuju ke arah ibunya dan memeluk wanita berkenaan yang sedang menahan kesakitan pada bahagian punggung.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan