Juruteknik Rentung Dalam Kemalangan Di Kemaman

Diterbitkan: Ahad, 15 Mei 2016 4:46 PM

Keadaan kereta Myvi yang terbakar selepas bertembung dengan Proton Persona, awal pagi Ahad.

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Seorang juruteknik rentung selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam kejadian di kilometer 118 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Kampung Kubu, di sini pagi Ahad.

Kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Abdul Manaf Mat Said, 27, yang bertugas di Kolej Universiti TATI maut di tempat kejadian.

Beliau yang memandu Perodua Myvi secara berseorangan dari arah Jerangau menghala ke Jabor bertembung dengan sebuah Proton Persona yang dipandu seorang kerani Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang dipercayai terbabas hingga masuk ke laluan bertentangan.

Susulan pertembungan itu, kedua-dua kenderaan tersebut terbakar malah pemandu Proton Persona, Nurfahayat Rani, 33, mengalami kecederaan parah dan patah kedua-dua kaki.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim yang dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan menurutnya mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Kemaman dan Nurfahayat dirawat di hospital yang sama.

Pegawai Pusat Gerakan dan Operasi Bomba Negeri Abdullah Mohamad pula berkata ketika pihaknya tiba, kedua-dua kenderaan tersebut telah terbakar keseluruhannya.

Katanya seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Baru bersama satu jentera serta unit pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 7.45 pagi.

"Seorang pemandu telah ditemukan rentung di dalam kenderaannya manakala seorang pemandu wanita mengalami kecederaan dan berjaya dikeluarkan orang awam," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: juruteknik , kemalangan , rentung

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan