Pendaki Cedera Dipanah Petir Ketika Daki Gunung Rajah

Diterbitkan: Sabtu, 23 April 2016 10:28 PM

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik (kiri) menunjukkan lokasi operasi mencari dan menyelamat seorang pendaki yang dikhuatiri cedera akibat dipanah petir ketika mendaki gunung Rajah bersama 15 pendaki lain. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Seorang pendaki dikhuatiri cedera setelah dipanah petir ketika mendaki Gunung Rajah bersama-sama kira-kira 10 hingga 15 pendaki lain petang Sabtu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 3.23 petang sebelum tiba di tempat mula pendakian setengah jam kemudian. 

"Laporan awal yang diterima menyatakan kejadian itu melibatkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang cedera akibat dipanah petir ketika sedang mendaki Gunung Rajah.

"Bagaimanapun, sehingga kini kita masih belum dapat memastikan tahap kecederaan yang dialami mangsa berikutan masalah talian komunikasi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian itu berlaku di antara kawasan Lata Kuning dan Kem Batu Hijau, yang terletak kira-kira 21 kilometer dari tapak mula pendakian dan mengambil masa enam jam untuk sampai di kawasan itu.

Pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada 35 anggota Bomba dan Penyelamat, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Unit Smart Force Majlis Daerah Bentong serta orang awam mula memasuki kawasan itu secara berperingkat untuk menyelamatkan mangsa.

"Kita menjangka mangsa dapat dibawa turun pada 5 pagi esok.

"Bagaimanapun, sekiranya kecederaan yang dialaminya serius, mangsa akan dibawa turun malam ini juga menggunakan bantuan helikopter," katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan