Seorang Lagi Militan Rakyat Malaysia Terbunuh Di Syria

Diterbitkan: Rabu, 20 April 2016 10:30 PM

Ayob Khan Mydin Pitchay

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang lagi rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan militan Negara Islam (IS) terbunuh di Syria, menjadikan jumlah keseluruhan 19 orang setakat ini.

Abd. Ghani Yaacob, 31, yang berasal dari Pendang, Kedah, dipercayai terbunuh dalam satu pertempuran di wilayah Al Khair pada 17 April lalu, lapor Utusan. 

Abd. Ghani yang menggunakan nama Abu Bashir Al Malazy atau ‘Abu Kedah’ dalam kumpulan militan itu maut terkena tembakan di bahagian dada selepas bertempur dengan tentera Bashar Al-Assad.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Abd. Ghani dikatakan tertarik dengan pergolakan di negara itu menerusi laman sosial Facebook dan tertarik dengan fahaman Salafi Jihadi oleh kumpulan militan ber­kenaan pada Mei 2013.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengesahkan perkara itu berkata, Abd. Ghani mempunyai jaringan dengan beberapa anggota militan IS dari Kedah seperti Ismail Ishak yang dilaporkan terbunuh pada September tahun lalu.

Abd. Ghani telah menceraikan isterinya yang dikahwini selama lima hari sebelum ke Syria.

“Dalam kes ini, Abd. Ghani lebih dahulu memasuki Syria manakala yang lain sedang menunggu giliran untuk turut sama. Namun kita telah bertindak dengan menahan mereka dan mendakwa hari ini".

Kali terakhir rakyat Malaysia yang dilaporkan terbunuh dikenali Ahmad Salman Abdul Rahim, 40, dari Parit Buntar, Perak yang mengalami kecederaan serius ketika bertempur dengan tentera Bashar al-Assad.

Tags / Kata Kunci: Rakyat Malaysia , IS , Terbunuh , Syria

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan