Culik: Polis Sabah Akan Ambil Keterangan Kru Kapal

Diterbitkan: Sabtu, 16 April 2016 1:18 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Polis akan mengambil keterangan enam kru kapal tunda warga Indonesia yang terselamat dan kini berada di Sabah dalam kejadian empat kru kapal itu diculik kumpulan bersenjata di perairan selatan Filipina, Jumaat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata seorang daripada kru kapal itu sedang dirawat di Hospital Semporna kerana mengalami kecederaan akan dipindahkan ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

"Jika (masa) dah sesuai, kami (polis) juga akan mengambil keterangannya," katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp di sini., Sabtu, berhubung kru kapal itu yang diselamatkan pasukan keselamatan Malaysia.

Abdul Rashid berkata lima lagi kru kapal itu akan dibawa ke Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Pada Jumaat, empat daripada 10 kru kapal warga Indonesia dilaporkan diculik kumpulan bersenjata yang dipercayai memintas kapal tunda mereka, ketika dalam perjalanan dari Filipina ke Indonesia, kira-kira 6.30 petang.

Sejurus selepas kejadian yang berlaku di perairan antarabangsa itu, enam kru kapal yang terselamat dipercayai bertindak memasuki perairan negara sebelum diselamatkan oleh pasukan keselamatan Malaysia.

Pada 1 April lepas, empat kru kapal tunda warga Malaysia diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna.

Pada 26 Mac, sebuah kapal tunda yang membawa arang batu dari Kepulauan Borneo ke Filipina dipercayai dirampas kumpulan bersenjata manakala sebanyak 10 kru kapal terbabit yang merupakan warga Indonesia diculik.

Tags / Kata Kunci: Sabah , Culik , Polis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan