Penyeludup Haiwan Eksotik Guna Laluan Laut Elak Dikesan Pihak Berkuasa

Diterbitkan: Rabu, 13 April 2016 10:00 PM

Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

PASIR PUTEH: Jabatan Perhilitan Kelantan mendedahkan sindiket penyeludupan daging dan haiwan eksotik kini menggunakan laluan laut untuk menggelak dicekup pihak berkuasa.

Pengarahnya Mohamad Khairi Ahmad berkata haiwan berkenaan biasanya akan dihantar ke Thailand dan Vietnam untuk dijadikan hidangan atau diproses untuk perubatan tradisional.

Beliau berkata penyeludup kini menggunakan bot melalui Laut China Selatan sebagai laluan mereka dan apabila berada di tengah laut bekalan itu akan dipindahkan ke bot nelayan asing.

"Penyeludup menggunakan modus operandi sedemikian bagi menggelak dikesan pihak berkuasa kerana mereka berurusan di tengah laut," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Mohamad Khairi mengulas mengenai rampasan haiwan eksotik yang dilakuka Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor di Tok Bali di sini, dua hari lepas. 

Haiwan eksotik yang dirampas termasuk 1,435 ekor kura-kura, 23 ekor musang, tujuh ekor labi-labi dan 254 kotak mengandungi daging babi hutan.

Dalam operasi pada 9 malam itu, empat lelaki termasuk dua warga asing ditahan selain sebuah bot nelayan Kelas C, sebuah pacuan empat roda dan sebuah lori turut dirampas.

Mohamad Khairi berkata berdasarkan maklumat, penyeludup yang menaiki bot nelayan tempatan akan menghala ke tengah laut dan apabila tiba ke destinasi yang dijanjikan, kesemua haiwan eksotik akan dipindahkan ke dalam bot nelayan asing.

"Selepas itu, bot nelayan asing akan membawanya kepada pelanggan mereka sama ada di Thailand atau Vietnam," katanya.

Beliau berkata Jabatan Perhilitan akan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain khususnya Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi mencegah kegiatan penyeludupan haiwan eksotik.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan