AIM Rugi RM8,500 Dalam Samun Bersenjata

Diterbitkan: Selasa, 12 April 2016 2:08 PM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kerugian kira-kira RM8,500 dalam kejadian samun bersenjata di Meraga Beris, Kijal di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim berkata kejadian berlaku pada pukul 10.30 pagi ketika 50 sahabat AIM sedang melakukan proses bayaran mingguan kepada agensi itu di Bangunan Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) Meraga Beris.

"Tiba-tiba muncul seorang lelaki bersenjatakan parang panjang sambil melibas parang itu sebelum merampas tiga beg tangan yang mengandungi wang tunai.

"Suspek bertubuh kurus, tinggi, berkulit sawo matang dan memakai topi keledar bercermin serta menutup mulut dengan kain.

"Lelaki itu langsung tidak bersuara sebaliknya hanya melibas parang untuk menakutkan mereka yang ada dalam bangunan itu sebelum melarikan diri bersama seorang rakannya yang menunggu dengan motosikal di luar bangunan itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Pembayaran balik pembiayaan pinjaman sahabat AIM dilakukan setiap minggu dan ia adalah proses biasa dilakukan agensi tersebut.

Mohd Said berkata tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai melarikan diri menuju ke Kijal.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan untuk menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan