Bekas CEO 1MDB Akan Disiasat Jika Perlu - KPN

Diterbitkan: Isnin, 11 April 2016 1:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata laporan PAC itu setebal 106 muka surat dan pihak polis memerlukan masa untuk menyemak dengan terperinci dan menurutnya beliau akan memberikan kenyataan bila sudah bersedia.

"Sama ada Shahrol akan dipanggil untuk membantu siasatan hanya akan diputuskan selepas laporan itu diteliti," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan PDRM, di sini, Isnin.

PAC pada Khamis lepas telah membentangkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat di Dewan Rakyat.

Jawatankuasa yang dianggotai anggota Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang itu antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB itu dan pihak yang berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan membawa campur tangan asing dan hasutan.

"Sebahagian daripada kertas siasatan ini ada yang belum selesai dan ada yang sudah dibawa kepada Peguam Negara namun tiada sebarang keputusan lagi," katanya.

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu mendakwa tekanan asing diperlukan untuk memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berundur kerana saluran untuk mencari penyelesaian dalam negara didakwa ditutup sepenuhnya.

Tags / Kata Kunci: 1MDB , Polis , PDRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan