Tiga Lelaki Ditahan Ancam Polis Dipercayai Rancang Samun Di JB

Diterbitkan: Jumaat, 8 April 2016 6:40 PM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHAR: Tiga lelaki ditahan selepas cuba bertindak agresif sehingga mendatangkan ancaman kepada pihak polis dalam satu kejadian di Jalan Susur 3, Jalan Tun Razak, Larkin awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berusia antara 29 sehingga 34 tahun dipercayai dalam perancangan melakukan kes samun.

Beliau berkata pada kejadian 3.40 pagi itu, sepasukan pegawai polis sedang membuat rondaan pencegahan jenayah dan terserempak dengan sebuah kereta pelbagai guna (MPV) yang mencurigakan yang dinaiki ketiga suspek berkenaan.

Selepas menyedari kehadiran polis, suspek bertindak agresif dan telah mengundurkan kenderaannya dan melanggar kereta polis dan merempuh kereta polis yang menghalang di hadapan, kata Sulaiman dalam satu kenyataan di sini petang tadi.

Sulaiman berkata suspek enggan mematuhi arahan pasukan polis dan terus merempuh ke depan dan ke belakang berulang-ulang kali dengan lebih kuat ke arah depan dan belakang kereta polis dalam usaha melarikan diri serta hampir melanggar beberapa anggota polis yang mengepung kenderaan suspek.

"Oleh kerana sikap agresif suspek yang mengancam nyawa serta harta pasukan polis serta enggan berhenti dan menjadikan keadaan yang tidak terkawal, pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk memberhentikan kereta suspek dalan usaha menangkapnya.

"Pemandu MPV kemudiannya terkena tembakan di pangkal paha manakala dua suspek lain yang tidak terkena tembakan, keluar dari kereta dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan antara suspek dan pihak polis," kata beliau.

Menurut Sulaiman, suspek yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan keadaannya kini stabil.

Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu MPV itu mempunyai 11 rekod jenayah lampau, manakala dua suspek lain turut mempunyai satu hingga dua rekod jenayah lampau, dengan salah seorang dikehendaki polis dalam satu kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Polis turut merampas sebilah parang sepanjang lebih kurang dua kaki setengah, sepasang sarung tangan dan sebuah kereta pelbagai guna yang disyaki kereta curi," kata Sulaiman.


Kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan