Pelajar Lelaki Meninggal Akibat Kencing Tikus

Diterbitkan: Ahad, 3 April 2016 1:59 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang pelajar lelaki dari Politeknik Kulim berusia 18 tahun meninggal dunia Jumaat lalu disyaki akibat jangkitan leptospirosis atau penyakit kencing tikus.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata remaja itu mengalami simptom demam, sakit kepala dan lenguh badan pada 26 Mac lalu dan telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kulim pada 31 Mac pukul 5.15 pagi.

"Pelajar terbabit terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan masih demam, sakit perut dan mengalami muntah. Rawatan rapi telah diberikan kepada pesakit namun telah disahkan meninggal dunia pada 1 April pukul 5 petang.

"Doktor telah mengesahkan pelajar terbabit meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru disyaki disebabkan oleh komplikasi daripada jangkitan kencing tikus," katanya dalam kenyataan Ahad.

Katanya, pemeriksaan awal terhadap pelajar terbabit menunjukkan gejala dan tanda jangkitan leptospirosis dan pihak hospital telah menghantar sampel darah untuk ujian ke makmal Institut Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur.

Dr Norhizan berkata hasil siasatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim mendapati mangsa telah mandi di tempat perkelahan Lata Sedim pada 8, 10 dan 20 Mac bersama tiga lagi rakannya, namun rakan-rakannya tidak mengalami sebarang gejala.

Tambahnya, PKD Kulim telah menjalankan pemeriksaan di kawasan perkelahan tersebut dan mendapati kawasan persekitaran di situ tidak memuaskan dan kerja-kerja pembersihan akan dijalankan pada 7 April ini melibatkan Jabatan Perhutanan, PKD Kulim dan beberapa agensi lain.

Dr Norhizan berkata pengunjung ke pusat rekreasi dinasihat agar menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan kehadiran perumah haiwan khususnya tikus yang meningkatkan risiko pencemaran dengan bakteria berkenaan.

"Pengunjung perlu elak daripada mandi di kawasan reakreasi sekiranya terdapat luka pada anggota badan selain membawa bekalan air sendiri dan tidak menggunakan air takungan sebagai air minuman.

"Orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan jika mendapat gejala demam, sakit kepala, sakit otot, loya atau muntah, dalam tempoh dua minggu dari tempoh mengunjungi tempat-tempat rekreasi (seperti kawasan air terjun, air sungai, tasik, kolam).  - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: kencing tikus , Politeknik Kulim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan