Musa Minta ESSCom, PDRM Berusaha Sedaya Upaya Kesan Mangsa Culik

Diterbitkan: Sabtu, 2 April 2016 9:04 PM

Empat orang kru kapal 'Masfive 6' diculik pada Jumaat ketika dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mahu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha sedaya upaya mengesan mereka yang terlibat dalam insiden penculikan di Pulau Ligitan, petang Jumaat. 

Musa berkata pihak ESSCom dan PDRM perlu bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan Filipina bagi tujuan berkenaan.

"Pasukan keselamatan dan ESSCom perlu bekerja sedaya upaya...kita juga perlu bekerjasama dengan pasukan keselamatan Filipina," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Walk For Autisme 2016 pada Sabtu. 

Seramai 500 peserta menyertai program berjalan kaki berkenaan di Kota Kinabalu.  Program berjalan serentak di empat daerah itu hari ini disertai masing-masing 500 orang di Sandakan dan Tawau, 200 orang di Kota Marudu.  

Polis Sabah pada Sabtu mengesahkan empat rakyat Malaysia diculik oleh lapan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, kira-kira 6.15 petang, Jumaat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata yang diculik itu berumur 21 hingga 34 tahun merupakan antara sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia. 

Mereka ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29,dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Lima individu lain yang terdiri daripada warga Myanmar dan Indonesia dilepaskan oleh penculik. 

Mengenai program berkenaan Musa memuji usaha Persatuan Child Sabah menganjurkan program itu yang dianggapnya amat baik untuk menimbulkan kesedaran orang awam berkenaan Autisme di samping mengutip dana untuk membantu persatuan melaksanakan pelbagai aktiviti. 

Pada majlis berkenaan, Musa turut mengumumkan bantuan kerajaan negeri Sabah sebanyak RM50,000 untuk mengisi dana persatuan berkenaan. 

Menurut Musa, beliau juga difahamkan bahawa ada syarikat swasta juga sudah menyatakan kesediaannya untuk turut menyumbang RM50,000. -Bernama

Tags / Kata Kunci: ESScom , Polis , Datuk Seri Musa Aman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan