Mesin Deposit Tunai Diletupkan

Diterbitkan: Selasa, 29 Mac 2016 1:27 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Sebuah mesin deposit tunai di sebuah bank di Bayan Baru di sini, diletupkan menggunakan bom paip dalam cubaan merompak pagi Selasa.

Cubaan lelaki terbabit untuk melarikan wang dalam mesin itu tidak kesampaian apabila letupan akibat bahan letupan buatan sendiri itu gagal memecahkan peti besi yang menyimpan wang itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata dalam kejadian pada pukul 3.45 pagi itu, seorang lelaki dilihat memasuki kawasan mesin juruwang automatik/deposit tunai bank di Jalan Pantai Jerjak itu dan meletakkan satu kotak di sebuah mesin deposit tunai.

"Selepas beberapa saat, telah berlaku letupan sehingga menyebabkan pintu mesin deposit tercabut. Peti besi yang menyimpan wang tiada mengalami sebarang kerosakan," katanya di sini, Selasa.

Beliau berkata berdasarkan rakaman CCTV di bank itu, lelaki yang memakai helmet, sarung tangan dan jaket warna gelap itu melarikan diri dengan sebuah motosikal yang diparkir di kawasan berhampiran bank itu setelah gagal memecahkan peti besi itu.

Lai berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu mempungai kaitan dengan kes seorang lelaki menggunakan bahan letupan buatan sendiri untuk meletupkan mesin juruwang automatik di sebuah bank di Bukit Jambul 11 Mac lepas.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Bahan Letupan 1957 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan