Mayat Wanita Indonesia Dengan Kesan Kelar Ditemui

Diterbitkan: Selasa, 29 Mac 2016 9:49 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Mayat seorang wanita Indonesia, dengan kesan kelar di leher, ditemui dalam rumah kongsi di Kampung Paya, Jalan Raja Uda di sini Selasa.

Mayat wanita yang hanya dikenali sebagai Tina, 40-an, ditemui dalam bilik tidur rumah kongsi itu pada pukul 3.50 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Azmi Adam berkata wanita yang baru dua bulan bekerja sebagai pembantu kedai itu dikatakan tinggal bersama teman lelakinya seorang rakyat Bangladesh di bilik rumah kongsi itu.

Namun tiada dokumen pengenalan diri ditemui, katanya.

"Terdapat dua kesan kelar di leher mangsa dipercayai menggunakan senjata tajam," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, di sini Selasa.

Sehubungan itu, polis kini memburu seorang rakyat Bangladesh berusia dalam lingkungan 30-an yang bekerja sebagai buruh binaan bagi membantu siasatan.

Azmi berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya wanita itu dibunuh  dalam bilik berkenaan kira-kira lima jam sebelum mayatnya ditemui.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki Bangladesh berusia 20 hingga 30 tahun yang juga penyewa di rumah kongsi tersebut yang juga rakan sekerja teman lelaki mangsa.

Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki Bangladesh berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: bunuh , wanita Indonesia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan