Rampasan Dadah Sindiket Malaysia Di Thailand Cecah RM400 Juta

Diterbitkan: Sabtu, 26 Mac 2016 9:02 PM

Anggota-anggota polis Thailand mempamerkan dadah yang dibawa 15 anggota sindiket dadah rakyat Malaysia pada sidang media di bangunan Central Investigation Bureau (CIB) di Bangkok, Khamis. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Polis Thailand menganggarkan dadah yang dirampas daripada 21 anggota sindiket rakyat Malaysia pada Rabu bernilai 4 bilion Baht atau kira-kira RM400 juta mengikut pasaran gelap.

Sumber berkata, nilai dan jumlah dadah yang dirampas daripada sindiket itu - 226 kilogram (kg) dadah sintetik "Ice" dan 8 kg Heroin - mengejutkan Polis Thailand dan Polis Malaysia.

"Kini pasukan penyiasat Thailad dalam proses mengesan dalangnya di Thailand dan Malaysia...ini (mencari dalang) adalah amat penting," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Menurutnya, pasukan penyiasat percaya destinasi utama dadah berkenaan kemungkinan besar bukan Malaysia tetapi sebuah negara lain di Eropah kerana jumlahnya yang amat besar.

"Pasaran dadah di Malaysia dan Thailand tidak mendapat permintaan yang besar sebanya dadah yang dirampas itu, yang memungkinkan dadah itu dihantar ke satu tempat lain sejurus tiba di Malaysia.

"Pasaran gelap di Malaysia dan Thailand juga tidak memiliki permintaan sebesar itu," katanya.

Sumber itu memberitahu bahawa sindiket itu mengambil dadah terbabit di Chiang Mai tetapi kemungkinan besar ia berpunca dari Segitiga Emas.

Pada Rabu lalu, polis Thailand menahan 15 anggota sindiket dadah rakyat Malaysia di empat stesen kereta api di Ratchaburi, Hua Hin, Prachuabkirikan dan Surat Thani.

Mereka menaiki kereta api menuju ke Butterworth dan dalam operasi susulan pada hari sama, enam lagi rakyat Malaysia ditahan ketika menaiki van di Hatyai.

Difahamkan keenam-enam rakyat Malaysia itu melarikan diri ke Hatyai apabila menyedari Polis Thailand menjalankan operasi di stesen kereta api Surat Thani.

Mereka turut meninggalkan beg-beg berisi dadah di kawasan itu. 

Sementara itu, tiga pegawai narkotik Bukit Aman tiba di Bangkok pada Jumaat bagi membantu Polis Thailand dalam proses siasatan terhadap 21 anggota sindiket rakyat Malaysia itu.

Ketiga-tiga anggota Polis Malaysia itu akan membantu Polis Thailand mengambil kenyataan daripada anggota sindiket itu berikutan perbezaan bahasa.

Kesemua 21 rakyat Malaysia itu ditahan di Bahagian Pencegahan Jenayah Polis Thailand di sini. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan