Lelaki Cuba Rompak Mesin ATM Di Bukit Jambul

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mac 2016 2:53 PM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Cubaan seorang lelaki untuk merompak mesin ATM di sebuah bank di Bukit Jambul, Bayan Lepas dekat sini awal pagi Jumaat gagal apabila alat penggera bank itu berbunyi.

Lelaki terbabit dipercayai menggunakan mercun untuk meletupkan mesin ATM berkenaan dalam kejadian pukul 5.20 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata terdapat serpihan mercun dan kesan letupan pada satu daripada mesin itu selain pintu gelangsar cermin depan bank itu pecah.

"Hasil penilaian menerusi CCTV bank itu, suspek dilihat meletakkan mercun di atas sebuah mesin ATM dan letupan mercun itu mengakibatkan penutup bahagian bawah skrin mesin ATM terbuka," katanya di sini Jumaat.

Lai berkata lelaki terbabit bagaimanapun tidak berjaya memecahkan mesin ATM itu.

Beliau berkata ketika kereta polis tiba di lokasi kejadian tidak ada sesiapa di bank itu dan lelaki terbabit dipercayai lari apabila alat penggera bank berbunyi.

Lai berkata polis sedang mengenal pasti lelaki terbabit menerusi rakaman CCTV di setiap kawasan berhampiran.

Bank itu juga difahamkan tiada pengawal keselamatan dan suspek dipercayai melakukan perbuatan itu berseorangan, katanya.

Lai berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Bahan Letupan 1957 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Tags / Kata Kunci: mesin ATM , kes rompak , Lai Fah Hin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan